LONDON, Khamis: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Khamis mengulangi komitmen Sarawak untuk melaksanakan dasar yang konkrit untuk menangani perubahan Iklim dunia bersama-sama komuniti sejagat.
Sarawak sudah dan sedang melaksanakan langkah-langkah ke arah mensifarkan emisi karbon dan memperkasakan kelestarian sumber dan alam sekitar di semua peringkat, ujar beliau.
Beliau menyatakan kemudian dalam ucapan sempena acara meja bulat antara delegasi Sarawak dan para pegawai dan sarjana London School of Economics and Political Science (LSE) di sini hari ini.
Beliau berkata dari segi usaha melindungi kawasan hutan sebagai kawasan yang menyerap karbon, Sarawak akan terus mengekalkan kawasan litupan hutan yang kini berada pada tahap 60% dari kawasan bumi Sarawak keseluruhannya.
Namun, beliau menegaskan harus ada inisiatif dunia luar untuk menyumbangkan dana untuk mengekalkan kawasan hutan di Sarawak kerana usaha Sarawak dilakukan untuk kepentingan bersama komuniti sejagat, khususnya melalui perniagaan karbon.
Beliau berkata pada masa ini masih belum ada protokol standard yang boleh menjadi asas untuk menentukan nilai kredit karbon dalam pasaran.
Selain itu, pihak institusi kewangan pun masih mengambil sikap tunggu dan lihat atas keperluan untuk menyediakan dana bagi program dan projek yang bersifat hijau.
Selepas sesi meja bulat tersebut, Premier telah mengadakan pertemuan bersama Presiden dan Naib Canselor London School of Economics and Political Science (LSE), Larry Kramer bagi membincangkan peluang kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak pada Khamis waktu tempatan.
Pertemuan ini merupakan peluang strategik untuk menjalin kerjasama dengan kepimpinan salah sebuah institusi terkemuka dunia dalam bidang ekonomi, dasar awam dan kelestarian.
Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha meneroka kerjasama jangka panjang di antara Kerajaan Sarawak dan LSE.
Kerjasama strategik ini khususnya dalam bidang pendidikan eksekutif untuk perkhidmatan awam dan institusi berkaitan kerajaan, laluan pengajian pascasiswazah dan biasiswa bagi pelajar Sarawak, penyelidikan bersama, jalinan institusi dan pertukaran akademik serta peluang penglibatan LSE dalam agenda iklim, tenaga dan kelestarian Sarawak
Jalinan kerjasama strategik ini menyerlahkan komitmen Sarawak untuk membina kerjasama akademik bertaraf global yang dapat menyokong aspirasi pembangunan mampan, kepimpinan dasar dan pembangunan modal insan negeri.
Turut menyertai Premier Sarawak dalam sesi tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee dan Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Dato Ibrahim Baki serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak.